Ibubapamu
Assalamualaikum semua, tajuk kali ni agak menarik. Rasanya aku dah banyak jugak berkongsi pasal mak dan abah dalam blog ni.. tapi ianya tidaklah terlalu menyeluruh sebab ada benda yang tak perlu dikongsikan pun. Ditambah lagi abah aku bukanlah seorang yang suka kisahnya dicanangkan merata-rata. itu juga antara sebab aku tak menulis tentang kisah abah sakit dulu.. tapi nak jugaklah bercerita pasal 2 manusia berjasa yang menjadikan aku manusia berumur 44 tahun hari ini..
Kenali Kedua Ibubapaku
Tapi disebabkan cabaran menulis hari ni adalah kisah mengenai ibubapa. Marilah kita cerita serba sedikit mengenai ibubapa aku setakat yang aku tau dan kenal. Mana tau kalau-kalau dengan menulis ni akan bertambah-tambah doa tanpa putus dari semua yang membaca buat kedua orang tuaku ini.
Abah
Nama sebenar abah ialah Abd Rahman bin Mohd Ali. Abah lahir pada 5 hb Disember tahun 1951 dan dibesarkan di Kota Tinggi, Johor. Ya umur abah akan mencecah 72 tahun tahun ni.. alhamdulillah abah masih boleh dikategorikan sihat walau diuji dengan sakit selepas pembedahan.. walaupun tidak sihat sepenuhnya abah masih mampu menguruskan diri dengan sempurna tanpa bantuan sesiapa.
Mempunyai latar belakang keluarga yang bukan orang senang, menyebabkan abah tidak pernah mendapat pendidikan sempurna di sekolah di masa mudanya. Tapi aku sangat kagum dengan abah.. ianya tidak pernah mematahkan semangat abah.. abah belajar membaca dan menulis sendiri, juga belajar mengira.. kemahiran mengira yang abah ada mengalahkan kami yang dapat pelajaran di sekolah. Jika dulu abah ke sekolah tentunya abah kami dah termasuk antara orang cerdik pandai juga rasanya.
Pelajaran Yang Utama
Disebabkan itu juga abah menekankan pelajaran adalah yang utama dari yang lainnya. Walau susah macamana pun, walau tak pandai macamana pun.. Belajar la untuk hidup.. itu prinsip abah. Dan itu juga yang menjadi pegangan aku hingga hari ni. Setiap perkara perlu dipelajari untuk hidup yang sempurna. Jangan pernah penat mencari ilmu. Ilmu juga datang dengan pelbagai cara bukan hanya belajar di sekolah.
Kuat Bekerja
Abah orang yang sangat kuat bekerja di masa mudanya. Apa je kerja yang abah tak buat? Semua abah buat demi kelangsungan hidup keluarganya. Sebab tu abah sangat marah dengan orang yang kerjanya main-main, tidak bersungguh dan malas bekerja. Bagi abah jika kita tidak berusaha, apa pun kita takkan dapat capai. Waktu kecik dulu, kami sangat susah nak tengok abah ada di rumah. Hanya mak je yang menguruskan kami adik beradik dulu.
Suka Bergurau
Abah kami sangat suka bergurau. Sejak dulu kalau ada masa kami bersama tentu abah akan selitkan dengan gurauan buat kami sekeluarga gelak ketawa. Ianya selalu menghiburkan. Masa bersama abah adalah masa yang kami tunggu-tunggu sebab suka dengar abah bergurau.
Suka Memasak
Abah seorang yang suka memasak. Semua benda kalau boleh abah nak cuba buat. Abah paling suka bila dia dah masak nak tengok reaksi orang makan. Sampai sekarang ni pun abah suka tengok youtube dan cuba resepi baru. Abah sampai dah pandai buat keropok nasi dan jugak sawi jeruk.
dulu mak tolak abah.. sekarang abah pulak tolak mak |
Idola
Kalau tanya aku siapa idola, aku akan sebut abah antara idola aku yang sangat aku kagum. Semangat abah tak pernah padam walau usia abah makin bertambah. Abah sangat cekal dalam hidupnya. Tak pernah kisah hidupnya dihina atau dikeji tapi abah tetap buat dengan azam yang kuat untuk mengubah kehidupan. Abah berusaha sebaik mungkin untuk bagi yang terbaik untuk keluarganya. Abah tak pernah mengalah sekali pun. Semangat juang abah tu yang menjadi idola aku sehingga ke hari ini.
Mak
Nama sebenar mak ialah Jemah binti Awang. Sebab tu aku agak sensitif bila orang sebut perkataan mak jemah. Kalau abah seorang yang sangat dominan dalam rumahtangga, mak adalah sebaliknya. Mak orang yang sangat manja. Seluruh hidup mak sentiasa bergantung dengan abah. Mak adalah seorang yang sangat lembut baik di hati mau pun perbuatan. Mak jarang marah-marah. Mak mendidik kami dengan penuh kasih sayang.
Mak sempat bersekolah hingga darjah 3 je satu ketika dulu tapi mak berjaya jadikan kami kenal huruf sebelum melangkah ke sekolah.Mak dilahirkan dan dibesarkan di Simpang Renggam, Johor. Keluarga mak ada campuran jawa, banjar dan bugis. Tapi satu pun bahasa ni aku tak pandai. Dulu-dulu mak pandai cakap jawa tapi bila dah berkahwin dengan abah, mak banyak lupa.
Mak Sakit
Mak dilahirkan pada 19hb Ogos tahun 1960.. kiranya tahun ni umur mak dah masuk 63 tahun.. Kalau ikutkan umur mak ni mak masih sihat dan kuat. Tapi sebaliknya.. mak diuji dengan penyakit kencing manis dan darah tinggi yang agak serius. Penyakit mak jadikan mak tak kuat nak bangun dan berjalan dah pun.. Kesian mak..
Sangat Bertolak Ansur dan Beralah
Kalau bagi markah aku akan bagi 200% markah tolak ansur kat mak. Sebabnya mak sangat bertolak ansur. Mak tak pernah berkira dengan apa yang mak terima atau dapat. Apa yang orang bagi pada mak itulah mak terima. Dengan abah lagilah mak sangat bertolak ansur. Mak selalu beralah dengan abah dalam banyak hal. Tak pernah berkira walau ada hari yang rezekinya cuma cukup-cukup je untuk kami sekeluarga.
Mak sempat berkerja dulu tapi seluruh hasil gajinya bukan untuk kegunaan mak sendiri pun. Mak sumbangkan semuanya untuk bantu keluarga. Hanya ada duit KWSP je yang mak boleh gunakan untuk kegunaan mak sendiri tapi waktu boleh guna pun mak dah tak kuat mana..
Sangat Berjimat
Mak orang yang sangat berjimat cermat. Semua barang peralatan dalam rumah bertahan lama sebab mak pandai menjaga. Mak sangat pandai berjimat dan menyimpan duit. Waktu aku nak masuk universiti dulu pun maklah antara penyumbang kewangan. Sebab mak rajin menabung. Duit tabungan tu jugaklah membantu sedikit sebanyak hal keluarga bila memerlukan.
Waktu bekerja dulu pun mak rajin bawak bekal. Sifat suka memasak dan bawak bekal ni la menurun ke aku sebagai anak mak.. di mana-mana pun aku akan bawak bekal. Ianya lebih menjimatkan.
Sangat Baik
Pada aku, kalau ditanya pasal sifat mak. Mak ni orangnya sangat baik. Jarang nak dengar mak bercerita pasal orang lain. Mak juga tak pernah mengungkit kejahatan orang pada mak. Kalau ada yang aku tau pun dari orang lain bukan dari mak sendiri. Kadang-kadang bila aku tanya untuk kepastian barulah mak nak bercerita. Bagi aku mak sangat baik peribadinya. Sayang pulak aku tak ikut perangai mak yang ni haha..
Gambar terkini abah dan mak |
Cukuplah kot perkongsian aku pasal kedua orang tuaku, abah dan mak.. Nak cerita lebih-lebih tak boleh juga.. aku akan rasa sebak.. sebab setiap kali aku memikirkan apa sahajalah jasa dan pengorbanan yang dapat aku berikan kepada mereka berdua bagi membalas semua yang mereka curahkan selama ini..
Ceritaita
Semoga hidup mereka sentiasa diberkati-Nya
BalasPadamamin.. terima kasih banyak atas doanya..
Padamtak terbalas jasa mak ayah kita sis...semoga kita dpt melayan kedua org kita sehabis mungkin...semoga mereka sentiasa diberi kesihatan yang berpnjangan...amin
BalasPadam